Pendidikan






Tajdid

Fiqh

Politik

Risalah

Pendidikan

Penerangan

Al Haq

Album 1

Album 2

Guest Book

  


PENDIDIKAN


Antara Punca Mahasiswa Islam gagal bersaing : KEPENTINGAN ILMU FARDHU KIFAYAH DISALAHFAHAMKAN

OLEH IBNU HUSSIN

Ilmu merupakan suatu senjata yang sangat penting bagi mana-mana bangsa untuk menguasai dunia. Tanpa pengetahuan dalam bidang-bidang ilmu tertentu sesuatu bangsa itu akan ketinggalan dan berada terkebelakang dalam aspek-aspek yang membabitkan penguasaan ilmu tersebut.

Islam mengajar umatnya supaya menuntut ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad, bahkan dari dalam perut ibu lagi. Disebutkan juga bahawa ulama-ulama dahulu menyeru kita belajar sehingga ke negeri China, negeri yang suatu masa dulu terkenal dengan ketamadunan dan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang ilmu. Walaupun sesetengah menyebutkan ungkapan ini sebagai hadis tetapi sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang sahih boleh disabitkan dengan Nabi s.a.w. Pun begitu pengertiannya begitu murni dan ternyata ada baiknya kita mengambil iktibar daripada ungkapan tersebut.

“Menuntut ilmu itu wajib terhadap setiap orang Islam.” Demikianlah maksud sebuah hadis sahih. Jelas, Islam begitu memberi penekanan terhadap aspek penguasaan ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini mungkin berkaitan ilmu fardhu ‘ain (demikianlah pengertiannya menurut sesetengah ulama), namun begitu kita tidak boleh melupa dan mengabaikan ilmu yang juga sangat penting kepada umat Islam iaitulah ilmu fardhu kifayah yang juga adalah sebahagian daripada tuntutan Islam.

Berdasarkan kepada takrif yang mudah difahami, ilmu fardhu ‘ain ialah ilmu yang wajib dipelajari dan diketahui oleh setiap orang Islam samada lelaki ataupun perempuan yang berkaitan dengan soal tauhid, rukun-rukun Islam, taharah, bersuci dan sebagainya. Sementara itu, ilmu fardhu kifayah ialah ilmu yang menglibatkan kepentingan dan kemaslahatan umat Islam yang mana menjadi kewajipan secara ijtimaii’ atau kolektif bagi sesuatu kelompok masyarakat Islam. Adalah menjadi kesalahan atau berdosa jika tidak ada umat Islam yang menguasai sesuatu bidang ilmu tersebut.

Ada baiknya disentuhkan di sini mengenai kepentingan ilmu fardhu kifayah memandangkan kebanyakan mahasiswa termasuklah diri saya dan saudara yang mengkhusus dalam bidang yang tidak berkaitan secara langsung dengan pengajian agama seperti usuluddin, fiqh, al Quran, al hadis dan sebagainya. Salahfaham yang ditimbulkan oleh golongan pengajian agama yang mengaku diri mereka kononnya ulama, bakal ulama, yang mendakwa bahawa ilmu mereka sahajalah yang mempunyai taraf di sisi Allah Taala, dan ilmu lainnya adalah sekular telah sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan kelompok mahasiswa yang mengkhusus di dalam bidang-bidang tersebut. Mereka memperlekeh-lekeh kumpulan yang mempelajari ilmu perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan ilmu-ilmu yang dikatakan mereka sebagai ilmu sekular. Bagi mereka, golongan pengajian agamalah yang layak menjadi pemimpin masyarakat, penunjuk arah dan pemangkin kemajuan ummah. Mereka mendakwa, di sisi Allah, golongan merekalah yang diiktiraf sebagai sebaik-baik manusia, golongan bijak pandai di dalam bidang lain tidak akan setaraf dengan mereka sekalipun mereka itu orang yang taat dengan segala perintah Tuhan. Kelebihan, menurut mereka adalah kerana mereka mengkhusus dalam bidang agama berbanding bidang pengajian lain yang dianggap sekular.

Akibatnya, lahirnya suasana yang tidak menyihatkan di kalangan para mahasiswa pengajian selain daripada pengajian agama. Suasana yang tidak sihat ini bukannya muncul daripada kalangan mahasiswa yang tidak ada kesedaran politik dan agama, tetapi di kalangan mahasiswa yang bersahsiah tinggi dan mempunyai potensi di dalam pelbagai bidang. Kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan yang mengaku diri mereka sebagai ulama sejati ini menyebabkan segolongan mahasiswa Islam yang berpotensi itu berfikiran pada diri mereka ada kekurangan yang perlu ditampung, lantaran mereka tidak mengkhusus di dalam pengajian agama, menyebabkan mereka beralih angin dari budaya persaingan ilmu yang kritikal di peringkat kursus pengajian mereka dengan mahasiswa-mahasiswa lain kepada persaingan untuk bersama-sama dengan mahasiswa pengajian agama yang lainnya. Kesannya sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan penuh dan fokus mereka terhadap pengajian ilmu mereka seperti kejuruteraan, perubatan dan lain-lain. Usaha mereka lebih kepada ilmu-ilmu yang bukan berkaitan dengan pengajian mereka sebaliknya ilmu yang pada pemahaman mereka mempunyai keutamaan yang tinggi berbanding bidang pengajian mereka. Keadaan yang lebih membimbangkan akan berlaku sekiranya kekeliruan ini terus berlaku di kalangan para mahasiswa kita yang berintelek tinggi dan beridelisme Islam yang menghuni fakulti-fakulti selain pengajian agama. Apakah kita akan terus kekurangan orang Islam yang betul-betul pakar dan mempunyai komitmen tinggi di dalam bidang-bidang selain pengajian agama yang membabitkan kepentingan umat Islam seperti kejuruteraan, perubatan, sains, matematik dan teknologi maklumat.

Lebih menyedihkan terdapat kumpulan-kumpulan tabligh, usrah dan pertubuhan yang disandarkan atas idealisme Islam yang mendesak mahasiswa menyertai mereka tanpa mengambil kira kepentingan akademik mereka. Malah, mereka melabelkan golongan yang tidak menyertainya sebagai tidak Islamik, tidak intelek dan sebagainya. Mereka lebih suka berpolitik daripada berusaha meningkatkan prestasi akademik mereka. Kita tidak menafikan hak bersuara atau berpolitik para mahasiswa tetapi keutamaan akademik perlulah disedari oleh mereka. Tujuan kita melanjuntukan pengajian di peringkat universiti ialah untuk mendapat segulung ijazah ataupun diploma, apa gunanya jika memasukinya dan menjadikan sebagai pentas untuk berpolitik, kononnya untuk memartabatkan agama Islam tetapi gagal di dalam pengajian. Memang mahasiswa tidak boleh memisahkan diri mereka daripada politik, kerana di dalam Islam itu ada membicarakan politik, politik tidak terpisah daripada agama, tidak boleh mengatakan politik suku agama suku. Tetapi politik bagaimanakah yang diajar oleh Islam, adakah politik melalui demonstrasi-demonstrasi jalanan, kutuk maki hamun dan mengkafirkan seteru, menabur fitnah dan mengajarkan kebencian sesama Islam.

Pengetahuan di dalam politik sememangnya penting bagi setiap mahasiswa bagi melengkapkan diri apabila keluar dari pusat pengajian nanti, sebagai golongan yang berpendidikan tinggi, merekalah yang berkeutamaan menjadi pemimpin pelapis. Kita tidak boleh mengharapkan golongan petani, nelayan dan kuli-kuli bawahan (tidak bermaksud menghina mereka) menjadi penunjuk arah masyarakat, kerana merekalah sebenarnya menggantung harap kepada kita. Mahasiswa pada pandangan masyarakat adalah orang yang layak mencorak masa depan agama, bangsa dan negara.

Berbalik kepada salahfaham terhadap bidang ilmu selain daripada ilmu agama. Perlu sekali lagi dijelaskan bahawa ilmu yang berkaitan dengan sains teknologi, kejuruteraan, komputer, ekonomi, matematik, perubatan dan sebagainya adalah ilmu fardhu kifayah. Ilmu ini sebenarnya diiktiraf oleh Islam, bahkan menentukan survival agama dan sesebuah masyarakat. Martabat bidang-bidang ilmu ini adalah setaraf dengan ilmu yang membabitkan pengkhususan di dalam bidang agama seperti usuluddin, syariah, ilmu hadis dan sebagainya.

Sesungguhnya Islam sangat memandang tinggi penguasaan ilmu selain ilmu agama asalkan mereka yang mempelajarinya tidak mengabaikan lunas-lunas syarak dan prinsip akidah semasa pengkajian bidang ilmu terbabit. Dijelaskan di sini bahawa, tidak akan berlaku pertentangan antara fakta dengan apa yang terungkap di dalam al Quran ataupun hadis-hadis Nabi. Tidak perlu membimbangi jika sesuatu penemuan baru oleh bidang-bidang seperti teknologi genetik yang mendapati kemampuan mereka mengklon manusia suatu hari nanti. Sesungguhnya, Islam mempunyai penyelesaian di dalam segala permasalahan, mungkin akan timbul topik baru dalam perbahasan usul fiqh jika sesuatu bidang itu berjaya memperoleh penemuan baru. Tidak perlu bimbang atau kurang yakin dengan ajaran Islam dalam menangani sesuatu isu membabitkan bidang-bidang tertentu. Kalaupun ada usaha-usaha yang membabitkan penyalahgunaan bidang ilmu itu adalah disebabkan kesalahan individu terbabit yang mengabaikan prinsip dan nilai-nilai akal budi yang diajarkan Islam bukannya salah bidang ilmu tersebut. Jadi, adalah suatu kesilapan bagi mana-mana kelompok agama yang menegah daripada mempelajari suatu ilmu yang pada pandangan mereka adalah ilmu yang langsung tiada nilainya di sisi Tuhan. Pernah diceritakan suatu masa dulu, seorang yang mendalami ilmu berkaitan nuklear terpaksa meninggalkan bidang pengajiannya kerana disebutkan oleh kelompok agama tertentu bahawa haram mempelajari ilmu sebegitu yang disifatkan memudharatkan manusia. Ternyata kisah ini boleh dijadikan iktibar, betapa kekeliruan dan salahfaham golongan agama tertentu dalam memahami kepentingan ilmu fardhu kifayah sehingga mengheret orang awam yang hanya taqlid secara buta tuli terhadap mereka telah mengakibatkan hilangnya orang-orang yang layak atau berpotensi membawa dan meneruskan penguasaan umat Islam dalam ilmu berkaitan kepentingannya.

Tanpa penguasaan umat Islam dalam lapangan ilmu fardhu kifayah tidak mungkin Islam dapat ditegakkan secara meluas dan seunggulnya. Keupayaan dalam bidang yang melibatkan ilmu fardhu kifayah menentukan sejauh mana umat Islam dapat menguasai dunia. Seterusnya memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk kejayaan hari akhirat. Sesungguhnyadunia ini adalah ladang akhirat. Kehidupan di dunia yang dijadikan dengan perhiasan-perhiasan dan pelbagai cubaan kepada manusia, seharusnya dijadikan tunggangan untuk mencapai keredhaan Ilahi. Tidak wajar bagi umat Islam mencaci-maki keberadaan di dunia seterusnya meminggirkan dan mengabaikan kehidupan di dunia semata-mata beralasan untuk mencapai kejayaan hidup di akhirat yang kekal abadi, kehidupan yang sebenar-benarnya. Golongan yang sebegini sebenarnya adalah golongan yang keliru tentang tuntutan-tuntutan Islam. Mereka tidak memahami bahawa di sana ada tuntutan supaya umat Islam memelihara kelangsungan agamanya melalui penguasaan di dalam bidang-bidang yang membabitkan kepentingan hidup di dunia. Sememangnya kehidupan di akhirat mempunyai hubung-kaitnya dengan kehidupan di dunia. Bahkan segala tuntutan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji tidak dapat disempurnakan sebaik-baiknya jika kita tidak mempunyai kemampuan secara zahir semasa di dunia.

Sebelum kita dapat menunaikan solat Jumaat, terlebih dahulu perlu dibina masjid-masjid. Untuk membina masjid kiita memerlukan arkitek, jurutera, jurubina dan sebagainya. Untuk menjadi arkitek dan jurutera pula kita memerlukan ilmu dan kepakaran serta kemahiran-kemahiran tertentu. Adalah sesuatu yang tidak elok, jika tiada pakar-pakar Islam di dalam bidang ini sehingga menyebabkan pergantungan kita terhadap golongan bukan Islam. Adakah sanggup kita mengupah semua pakar-pakar bukan Islam untuk membina sebuah masjid, yang mana orang Islam yang bakal menggunakan sepenuhnya, tidak malukah kita? Sekiranya tiada pakar-pakar Islam dalam bidang-bidang tersebut, bagaimana agak kedudukan umat Islam pada masa itu? Jikapun mereka begitu tinggi peradabannya dan alim dalam ilmu agama, tetapi masih bergantung sepenuhnya terhadap musuh sendiri, tidakkah ini suatu yang mengaibkan, dan mengancam keselamatan umat Islam. Mereka boleh menipu atau mensabotaj kita lantaran tidak adanya orang-orang Islam yang mengetahui tentang bidang-bidang penguasaan mereka. Akibatnya kita juga yang rugi seterusnya kita berada dalam ketakutan dan syak-wasangka.

Di dalam bidang ketenteraan, hari ini kita melihatkan tidak ada suatu pun negara Islam yang layak digelar kuasa ketenteraan dan menjadi pengeluar peralatan ketenteraan yang boleh menyaingi musuh-musuh Islam. Dunia Islam masih bergantung sepenuhnya kepada negara bukan Islam untuk mendapatkan bekalan-bekalan senjata, kelengkapan perang, satelit dan sebagainya. Kita bimbang sekiranya berlaku peperangan yang melibatkan umat Islam keseluruhannya, kita tidak mampu bertarung sehebat musuh sekiranya pergantungan itu disekat oleh mereka. Begitulah juga di dalam bidang ekonomi, umat Islam masih juga bergantung kepada Barat. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya masih mengawal dan menentukan masa depan kedudukan ekonomi dunia termasuk di negara-negara Islam. Dunia Islam tidak mampu berdiri tanpa kuasa-kuasa ekonomi seperti Amerika Syarikat, kerana mereka tidak mempunyai keupayaan sebegitu tinggi dalam bidang ekonomi. Melalui ekonomi kita melihatkan bahawa ia kini telah dijadikan senjata untuk menjajah kembali negara-negara majoriti umat Islam.

Di negara jiran, Indonesia, perangkap mereka sudah berjaya. Selepas pemerintah ditumbangkan, rakyat sama-sama bertelagah, akibatnya negara menjadi huru-hara dan tidak aman lagi. Akhirnya yang rugi adalah umat Islam itu sendiri, mereka bertambah miskin, merempat di negara sendiri, dihina dan dipandang rendah oleh masyarakat antarabangsa. Melalui kemiskinanlah bergeraknya misionari-misionari yang menyebarkan dakyah-dakyah Kristian untuk memurtadkan umat Islam. Usaha-usaha mereka menjadi lebih mudah lagi apabila kemewahan, makanan dan wang dapat disogokkan dengan begitu berjaya sekali untuk memancing akidah Islam yang ketika itu tidak lagi menghiraukan batas-batas halal, haram dan larangan-larangan agama. Benarlah kata-kata Ibnu Umar r.a. yang menyebutkan bahawa, “Hampir-hampir kefakiran itu kepada kekufuran.” Justeru, perlu bagi umat Islam itu menguasa ekonomi dan ilmu-ilmu berkaitannya.

Hal keadaan yang sama juga berlaku di dalam bidang-bidang lain. Dalam bidang sains, kita juga memerlukan saintis-saintis yang boleh mengkaitkan fenomena-fenomena dan proses-proses sains dengan ajaran Islam dan ketuhanan, seterusnya menangkis hujjah-hujjah golongan saintis yang menentang kepercayaan beragama, yang cuba menyesat manusia dengan ilmu-ilmu mereka. Sementara, di dalam bidang teknologi maklumat, perlu lahir pakar-pakar IT yang boleh memanfaatkan kemahiran mereka untuk menangkis dakyah-dakyah musuh Islam, menyebarkan ajaran Islam dan menjelaskan kekeliruan dan fitnah yang diwujudkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menghancurkan agama Islam.


"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian di hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagian (keperluan dan bekalanmu) di dunia" (Al Qasas : 77)



 

"Tidak dianggap baik mereka itu yang mana meninggalkan dunianya atas kerana akhirat." (Al Hadith)



 



ANGKATAN MUSLIM NASIONAL (AMANU)