Tajdid






Tajdid

Fiqh

Politik

Risalah

Pendidikan

Penerangan

Al Haq

Album 1

Album 2

Guest Book

  


TAJDID KE ARAH KEMAJUAN DUNIA DAN AKHIRAT


Minda Pengarang



Perjuangan Melayu Bukan Asabiyah

"TIDAK ada bangsa yang paling dimuliakan oleh Tuhan di dunia ini selain daripada bangsa Melayu di Malaysia, yang mana di dalam Perlembagaannya menyebut Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu ..."

Demikianlah ungkapan yang keluar daripada mulut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria semasa mengendalikan Seminar Pemantapan Akidah di Masjid Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan tidak lama dulu.

Mufti Perak, Sohibussamahah Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria

Tidak dinafikan lagi bahawa memang benar di dalam Perlembagaan Persekutuan, termaktub takrif Melayu dalam Perkara 16 iaitu Melayu ialah orang yang lazim bertutur bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu.

Jelaslah setiap yang mengaku dirinya Melayu itu mestilah beragama Islam dan sesiapa yang murtad tidaklah boleh diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan. Malah dalam masyarakat kita, apabila orang Cina atau India memeluk Islam, mereka juga dikatakan masuk Melayu. Ini adalah benar kerana sebagai seorang warganegara Malaysia, seorang mualaf itu pastinya boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dan biasa dengan adat resam dan budaya Melayu kerana budaya Melayu Islam sebenar adalah asas kebudayaan nasional, dengan itu mereka juga wajar dipanggil Melayu menurut terjemahan Perlembagaan kita.

Oleh yang demikian, benarlah ungkapan yang menyebut Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Adalah suatu kejahilan sesiapa menganggap perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu sebagai bukan perjuangan untuk agama Islam dan sempit. Tidak boleh juga kita memisahkan antara Melayu dan Islam dengan memaksa orang lain supaya memilih samada mahukan Islam ataupun Melayu. Ketahuilah bahawa hubungan Melayu dan Islam itu adalah bagaikan aur dengan tebing, suatu hubungan simbiotik yang saling kukuh mengukuhkan satu sama lain. Pun begitu, ungkapan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu mungkin hanya sesuai di Malaysia kerana kita mempunyai Perlembagaan yang menyebut tentangnya tetapi mungkin di Singapura atau Indonesia lain pula situasinya.

Namun begitu, yang pastinya bicara kita secara khusus adalah tentang perjuangan bangsa Melayu di negara ini. Lupakan pertikaian dengan berhujah adanya Melayu Kristian di Singapura atau di Indonesia kerana bagi kita di Malaysia, tiap-tiap Melayu itu mestilah beragama Islam menurut Perlembagaan Persekutuan.

Setelah kita memahami bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu, maka kita tidak boleh melabelkan perjuangan memartabatkan bangsa Melayu sebagai tidak Islamik atau asabiyyah. Perjuangan untuk bangsa Melayu adalah berbeza dengan perjuangan kebangsaan bagi bangsa-bangsa lain di dunia yang tidak diasaskan kepada agama. Perjuangan kebangsaan Melayu hari ini adalah disempadani oleh agama Islam, dengan sendirinya apa-apa yang bertentangan dengan agama maka ia bukanlah menjadi visi dan perjuangan bagi bangsa Melayu. Hal ini berlaku sejak turun temurun lagi dari mula kedatangan Islam di Tanah Melayu berabad-abad dulu. Bangsa Melayu memang terkenal dengan kuatnya berpegang kepada adat budayanya dan agama Islam. Ini diakui oleh semua orang termasuk penjajah.

Perlu diperjelaskan secara terperinci lagi bahawa dakwaan kononnya sesiapa yang berjuang untuk bangsa Melayu adalah berjuang atas dasar asabiyyah adalah silap sepertimana telah dijelaskan tentang batas-batas perjuangan Melayu di atas. Dalam sebuah hadith sahih disebutkan bahawa:

"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah perbuatan asabiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman." [H/R Abu Daud dan Ibnu Majah]

Juga disebutkan dalam sebuah hadith yang lain bahawa:

"Dari Wathilah bin al Asqa' berkata: Saya pernah bertanya : Ya Rasulullah, apakah sebenarnya asabiyah? Jawab baginda : iaitu engkau menolong kaum bangsamu melakukan kezaliman. Dan baginda bersabda: Jauhilah sikap jahiliah ini, kerana ia terlalu kotor (keji dan busuk)".

Jelas bahawa perjuangan kebangsaan yang disempadani oleh agama Islam tidak boleh diistilahkan sebagai perjuangan asabiyah kerana perjuangan kebangsaan sebegini tidak sesekali akan menyokong kemungkaran bangsanya. Sebaliknya asabiyah yang sebenarnya tidak terbatas pada perjuangan kebangsaan yang menyokong kezaliman sahaja tetapi turut meliputi perjuangan kelompok tertentu seperti kumpulan, parti, negeri, negara atau benua. Parti yang kononnya berjuang atas idealisme Islam juga boleh dilabelkan parti asabiyah jika mereka menyokong kezaliman puak-puak mereka.

Sesungguhnya tidaklah salah dan bukanlah kita berfahaman sekular jika kita mencintai bangsa dan tanahair kita sepertimana dakwaan sesetengah pihak. Nabi s.a.w. sendiri cintakan bangsa dan tanahairnya. Bahkan disebutkan oleh ulama kita bahawa:

"Cintakan tanahair itu termasuk daripada Iman."

Jikalah perjuangan kebangsaan itu salah di sisi Islam kenapakah pejuang-pejuang Islam dahulu seperti Burhanuddin El Helmi, Syeikh Syed Al Hadi dan lain-lain ulama yang berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu? Malah disebutkan juga Imam as Syahid Hassan al Banna bahawa beliau tidak pernah menolak perjuangan berasaskan semangat cintakan bangsa dan tanahair. Beliau berkata tentang nasionalisme Mesir:

"Sesungguhnya kita menjadi orang-orang Mesir di atas tanah yang suci ini di mana di sinilah kita lahir dan membesar. Mesir adalah sebuah negara yang beriman dan menerima Islam secara mulia, menolak segala penentangan ke atas Islam sepanjang sejarah, ikhlas dalam menganutinya, meluruskan padanya perasaan yang paling lembut, emosi yang paling damai, di mana ia hanya baik untuk Islam, tidak berubat kecuali dengan ubatnya dan tidak akan sihat kecuali melalui rawatannya. Atas sebab keadaan yang banyak, ia telah menjadi penjaga pemikiran Islam dan mendirikannya. Maka bagaimanakah kita tidak mahu berusaha untuk Mesir dan melakukan kebaikannya untuknya? Bagaimanakah kita tidak mahu membela Mesir dengan segala kemampuan kita? Bagaimanakah dapat dikatakan bahawa Iman dan Mesir tidak menepati apa yang sepatutnya diserukan oleh seorang yang mengajak kepada Islam dan melaungkan Islam? Kita berbangga kerana kita ikhlas untuk negara yang dicintai ini, bekerja dan berjuang untuknya, kita akan terus demikian selagi kita masih hidup dan berkeyakinan bahawa ini adalah pusingan pertama bagi siri pembangunan yang dicitakan. Mesir adalah sebahagian daripada negara Arab secara umumnya dan apabila kita berusaha untuk Mesir, maka ia bererti kita berusaha untuk Arab, negara Timur dan Islam."

Dr. Yusuf al Qardhawi juga ada menyebutkan bahawa: "Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi s.a.w. sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, baginda berkata kepada kota Mekah: "Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling Allah cintai, kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukn kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya." Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergenang air mata Rasulullah dan baginda bersabda: "Biarkanlah hati ini memperakuinya".Tidak wujud di sana sebarang pertentangan di antara semangat kebangsaan yang bersifat fitrah dengan semangat keIslaman kerana tidak ada pertentangan di antara keduanya yang bersifat umum dan khusus."

Sekiranya seseorang itu adalah Melayu yang benar dan Muslim yang sedar, dia akan mendapati bahawa kebaikan untuk Melayu yang sebenarnya adalah kebaikan untuk Islam. Seorang Islam tidak akan mendapati halangan daripada agamanya untuk bermula dengan bangsanya di mana dia hidup bersamanya. Disebutkan dalam hadith sahih:

"Mulakan dengan diri kamu, kemudian dengan mereka yang berada di bawah tanggungan kamu."

Wallahu'alam.

Artikel Siswa

Bersyukur, Berterima Kasih dari Ajaran Islam

Dalam kesempatan ini penulis mengambil kesempatan berbicara sedikit sebanyak tentang topik bersyukur dan berterima kasih.

Kita telah sedia maklum bahawa adalah menjadi tanggungjawab manusia apabila diberikan sebarang nikmat oleh Allah s.w.t. hendaklah dia bersyukur kepada-Nya. Ayat-ayat al Quran dan hadis-hadis sahih banyak membicarakan tentang suruhan bersyukur dan tegahan mengkufuri nikmat kepada manusia. Allah s.w.t. berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." [Surah Al Baqarah : 172]

Sesungguhnya nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita adalah terlampau banyak jika hendak dihitung. Nikmat kesihatan, nikmat iman, nikmat keselesaan, kemakmuran dan kemajuan dalam hidup bermasyarakat adalah hanya beberapa contoh nikmat yang dapat dilihat dari bermacam-macam nikmat lain yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita semua.

Namun kebanyakan manusia alpa dan lupa dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan mereka. Mereka mengingkari perintah Allah s.w.t. dengan mengkufuri nikmat-Nya. Mereka menyangka segala nikmat yang dikecapi oleh mereka adalah hanya daripada titik peluh dan usaha mereka semata-mata. Maka timbullah perasaan bongkak, ego, takabur dan sum'ah. Mereka menunjukkan kelebihan mereka, memperalat dan memperendahkan martabat orang lain, menindas yang lemah dan melakukan pelbagai bentuk pembaziran dan kezaliman. Nikmat yang dikurniakan hanya digunakan untuk hawa nafsu sahaja tanpa memperdulikan dasar iman dan takwa.

Kebelakangan ini ada pula ulama-ulama tertentu yang mendakwa hanya perlu bersyukur kepada Allah s.w.t. sahaja sebaliknya tidak perlu berterima kasih kepada manusia. Dakwaan mereka ini tidak lebih daripada dakyah berunsur politik yang cuba menguntungkan masa depan kelompok mereka dan menafikan hak-hak orang lain.

Golongan ini memberikan hujjah bahawa nikmat kemakmuran dan kemajuan negara hari ini datangnya dari Allah s.w.t. kerajaan hanya menyampaikan sahaja. Jadi tidak perlulah kita berterima kasih kepada mereka, hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Allah s.w.t.

Mereka juga berhujjah bahawa kerajaan yang tertegak hari ini hakikatnya diwujudkan untuk melaksanakan segala bentuk pembangunan dan memelihara kemakmuran negara dan perkara-perkara itu sudah menjadi tanggungjawab sesuatu kerajaan yang dipilih. Jika orang lain yang menjadi kerajaan pun mereka akan membuat perkara yang sama. Maka, apa perlunya kita berterima kasih kepada kerajaan? Lagipun tidak ada suruhan supaya berterima kasih kepada pemerintah di dalam al Quran dan hadis.

Kepada mereka ini bukalah minda dan ikutilah hujjah-hujjah yang insya Allah akan menjawab dan menangkis hujjah-hujjah mereka. Penulis mengakui pernah berbahas tentang isu ini dengan beberapa mahasiswa yang sehaluan dengan golongan ulama terbabit dan mereka menggunakan hujjah yang sama semasa berhadapan dengan penulis.

Jika mereka mendakwa kemajuan dan kemakmuran hari ini akan tetap dilaksanakan oleh mana-mana orang yang dipilih menjadi kerajaan, maka mereka silap kerana kita lihat banyak negara di dunia yang mempunyai kerajaan sebaliknya mereka gagal melaksanakan pembangunan dan mewujudkan kemakmuran seperti yang ada di Malaysia hari ini. Jika orang lain yang menjadi kerajaan mungkin mereka tidak sampai ke tahap yang diperolehi hari ini.

Keduanya, jika mereka terus mengatakan bahawa mana-mana individu yang diberikan tanggungjawab oleh kita dan sekalipun dia berjaya memenuhi tanggungjawab tersebut, tidak perlu juga berterima kasih kepadanya. Diumpamakan seorang posmen yang menyampaikan surat kepada kita, tidak perlu kita berterima kasih kepada mereka kerana sudah menjadi tugasnya menyampaikan surat tersebut. Maka kita menjawab melalui dalil al Quran, di mana Allah s.w.t. berfirman:

"Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada-Ku tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman : 14]

Bukankah sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa memelihara, mengasuh dan mendidik anak-anak? Tetapi Allah tetap menyuruh kita berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita malah diwajibkan pula berbuat baik kepada mereka. Bukanlah dimaksudkan berterima kasih di sini dengan cara melafazkan ungkapan terima kasih semata-mata tetapi maksud berterima kasih itu sebenarnya dapat diterjemahkan melalui sangkaan, tuturkata dan perilaku yang baik terhadap mereka berdua. Sama juga dengan bersyukur, kita tidak dinamakan bersyukur kepada Allah s.w.t. jika hanya menyebutnya di bibir sahaja tetapi hati dan kelakuan kita tetap mengingkari nikmat-Nya.

Memang benar kita tidak perlu melafazkan perkataan terima kasih kepada posmen, tetapi rasa berterima kasih itu perlu diterjemahkan melalui perilaku dan tuturkata kita terhadap mereka. Jika kita mendapatkan surat tersebut daripada posmen dengan cara yang baik itu sudah disifatkan sebagai berterima kasih kepadanya. Sebaliknya jika kita memaki hamun, menyumpah, menghinanya walaupun dia menjalankan tugasnya dengan baik maka ini tidak dinamakan berterima kasih. Rasulullah s.a.w. ada bersabda dalam sebuah hadith sahih yang bermaksud:

"Yang paling pandai bersyukur kepada Allah adalah orang yang paling pandai bersyukur (berterima kasih) kepada manusia." [H/R Ahmad]

Jelas daripada hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa perlunya kita berterima kasih kepada manusia supaya dapat dinilai kita sebagai orang yang paling pandai bersyukur kepada Allah s.w.t. Tidak mahukah kita dikategorikan sebagai seorang yang bersyukur di sisi Allah. Dalam hal ini, Allah s.w.t. telah berfirman:

"Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." [Surah Ibrahim : 7]

Dan jika kalian tetap dengan pendirian bahawa tidak perlu berterima kasih kepada seseorang yang menjalankan tanggungjawab kepada kita, maka ditunjukkan hujjah yang dibawa oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad yang suatu masa dulu diputar belitkan pihak tertentu dengan tuduhan beliau menghina Nabi Muhammad s.a.w.

"Ada orang yang mengesyorkan supaya Melayu ini bersikap kurang ajar sedikit. Syor ini mendapat sambutan. Apa perlunya kurang ajar sedikit? Lebih baik kurang ajar (sepenuhnya) sahajalah. Dengan itu berkembanglah pendapat bahawa tidak perlu ada perasaan terhutang budi sampai mati. Jangan ada langsung perasaan terhutang budi. Jangan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Memaki mereka dan memburuk-burukkan mereka tidak salah.

"Hanya yang perlu ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikannya. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada Allah s.w.t sahaja."


Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan untuk menyampaikan risalah kepada seluruh manusia. Maka adakah kita tidak perlu berterima kasih kepada baginda hanya jika tanggungjawabnya menyampaikan dakwah Islam kepada kita umat manusia? Fikir dan renungkanlah baik-baik, jangan menerima kata-kata mana-mana ulama secara taqlid buta tanpa mengetahui hakikat kebenarannya.

Kesimpulannya, sebagai seorang manusia yang beriman kepada ajaran Islam, maka sepatutnya kita mempunyai ciri-ciri insan yang soleh dan sifat-sifat mahmudah dalam menelusuri zaman yang serba mencabar kini. Bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah memang menjadi tanggungjawab kita dan perlu juga kita berterima kasih kepada manusia yang membantu kita sekalipun bantuan itu sudah menjadi tanggungjawab mereka. Sebagai peringatan, selamilah pengertian hadis sahih ini:

"Tidak bersyukur orang itu kepada Allah orang yang tidak berterima kasih kepada manusia." [H/R At Tirmidzi]

Petikan Artikel Ustaz Rasul Dahri

Keharaman Memaki Hamun dan Mencerca

ISLAM mengharamkan perbuatan maki hamun sebagaimana penjelasan dari hadith-hadith sahih di bawah ini.

"Melaknat seorang mukmin itu sama dengan membunuhnya". [H/R Bukhari]

"Sesiapa yang mengutuk (melaknat) seseorang sedang ia tidak layak mendapat kutukan itu, pasti kutukan itu akan kembali ke atas dirinya sendiri". [H/R Abu Daud dan Tirmizi]

"Janganlah seseorang itu menuduh seseorang yang lain dengan tuduhan kafir atau fasik, maka perbuatan itu akan kembali kepadanya sekiranya orang yang dituduh itu bukan seperti itu (bukan golongan kafir atau fasik)."[H/R Muslim dan Ahmad]

Ikatan atau hubungan persaudaraan dalam Islam bukanlah lantaran hubungan keluarga, bangsa, suku kaum, keturunan, bahasa, ideologi, parti, bendera atau negara. Menurut syarak hakikat persaudaraan yang sebenar hanyalah kerana ikatan agama, akidah, keimanan dan manhaj.

Sesiapa yang menolak atau memperkecil-kecilkan hakikat persaudaraan ini yang diwujudkan oleh Allah dalam agamaNya, kemudian ia menganggap bahawa persaudaraan selain darah daging dan keturunan adalah diikat oleh bangsa, bahasa, negara (bendera), firkah (kumpulan, golongan atau kawan-kawan yang setujuan, sealiran dan semazhab dengannya), parti (parti taghut) atau fahaman (isme dari ideologi) jahiliah, maka semuanya itu adalah asabiyah yang menyebabkan penganut atau penerima fahaman sedemikian menjadi kufur, fasik atau syirik.

Sesiapa yang menolak hakikat persaudaraan Islam, kemudian menerima, mempertahankan, memperjuangkan dan membanggakan dasar Asabiyah sebagai penggantinya, sama ada secara sedar atau tidak, maka ia telah melakukan bidaah dan termasuk golongan yang sombong. Ia dianggap telah memilih sikap dan sifat-sifat jahiliah dan dihukum telah terkeluar dari agama Islam kerana batal akidahnya. Allah telah berfirman:

"Ketika orang-orang kafir menyimpan di hati mereka kesombongan (iaitu kesombongan jahiliah), lalu Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan orang-orang mukmin, dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimah takwa, dan mereka adalah berhak dengan kalimah tersebut dan patut memilikinya. Dan adalah Allah maha Mengetahui segala sesuatu." [Surah Al Fath : 26]


Pengumuman kepada Pelawat

Kepada sesiapa yang berminat untuk menghantar artikel atau cadangan lain, anda dialu-alukan oleh pihak kami.

Hantar emel

BERSAMA KE ARAH PENGUASAAN ILMU FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH

"Umat Islam tidak hanya perlu menekankan ilmu agama sahaja tetapi juga ilmu bukan agama seperti ilmu kejuruteraan, perubatan, teknologi maklumat dan pengurusan ..."



Angkatan Muslim Nasional (AMANU)